Rasanya masih belum terlambat untuk ucap Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru di seluruh Malaysia umumnya. Dan ucapan jutaan terima kasih kepada guru-guru yang pernah mengajar saya sejak dari zaman sekolah rendah sehinggalah ke peringkat Universiti.
Tidak lupa juga kepada mereka yang pernah mengajar saya apa sahaja ilmu yang bermanfaat secara langsung atau tidak langsung. Anda juga adalah seorang penyampai ilmu yang bergelar seorang guru.
Begitu besar jasa seorang guru dalam mendidik masyarakat. Tanpa ilmu sudah tentu masyarakat akan menjadi mundur. Jadi tugas seorang guru sangatlah berat dan begitu besar peranannya terhadap pembangunan sebuah negara.
Tanpa seorang guru, sudah tentu saya tidak mampu mengenal ABC. Saya tidak akan kenal huruf Alif Ba Ta. Kerana seorang gurulah saya dapat mengenal dan membaca Al Quran. Terima kasih kerana telah menjadikan saya orang yang berilmu bukan sahaja dunia malah ilmu akhirat juga.
Ilmu yang kita ada perlulah diamalkan dalam kehidupan seharian barulah ia benar-benar memberi manfaat kepada diri kita. Ilmu yang kita belajar akan sia-sia jika tidak diamalkan. Ilmu yang kita belajar perlulah digunakan dengan sebaiknya untuk menjadi diri kita lebih baik dan lebih berjaya di masa hadapan.
Kita juga hendaklah menyampaikan ilmu yang kita ada kepada orang lain pula. Barulah pahala akan mengalir berterusan. Orang lain juga akan mendapat manfaat.
Tugas menyampaikan ilmu bukan terhad kepada guru-guru di sekolah sahaja. Kita semua adalah guru yang berperanan untuk menyebarkan dan menyampaikan ilmu kepada orang lain melalui kemahiran dan kepakaran yang kita ada. Contohnya menulis, bercakap, akhlak/kelakuan, dan banyak lagi cara yang kita boleh lakukan.
Jasa seorang guru sudah tentu tidak dapat dibalas dengan wang ringgit semata-mata. Tapi kita hendaklah selalu berterima kasih dan menghargai segala jasa-jasa mereka. Kita mendoakan kesejahteraan hidup mereka dunia dan akhirat. Semoga Allah memberkati segala ilmu yang mereka curahkan kepada kita.