Pada masa sekarang ini, semua orang amat memerlukan wang yang banyak untuk meneruskan kehidupan supaya kehidupan mereka akan lebih baik. Kos sara hidup seperti makanan, tempat tinggal dan kenderaan telah menguasai penggunaan wang kebanyakan keluarga di Malaysia. Kos sara hidup hari ini semakin meningkat. Tidak sama jika 10 tahun atau 20 tahun lalu.
Oleh itu, ramai orang yang telah mula mencari pendapatan tambahan dan juga sampingan. Perniagaan melalui internet adalah antara perniagaan yang telah mereka pilih. Disebabkan oleh kos operasi yang rendah dan potensi keuntungan yang sangat lumayan telah membuatkan lebih ramai memilih perniagaan internet untuk mencari pendapatan tambahan.
Tambahan pula, ia hanya boleh di jalankan dari rumah dan berada di samping keluarga yang tersayang tanpa perlu bersusah payah untuk keluar pergi ke tempat kerja.
Namun begitu, dengan kehadiran banyaknya skim cepat kaya pada masa sekarang telah memusnahkan konsep sebenar perniagaan internet itu sendiri. Perniagaan adalah perkara yang baik dan suci. Maka kita perlu sedar bahawa perniagaan memerlukan produk yang jelas. Betul tu, apabila berniaga kita memerlukan produk untuk dijual.
Konsep perniagaan internet tidak tepat apabila hanya melaburkan wang dan duduk goyang kaki tunggu wang masuk poket seperti skim cepat kaya. Jangan amalkan konsep 4D (Duduk Diam Duit Datang).
Menjana pendapatan melalui skim cepat kaya adalah tindakan yang kurang bijak dan sia-sia sahaja. Ini kerana apa yang dilakukan adalah hanya membeli angan-angan kosong semata-mata. Kita perlu membayar sejumlah wang yang telah ditentukan jumlahnya untuk mendaftar atau menyertai skim tersebut dan kita akan dijanjikan untuk menjana pendapatan sekian-sekian jika berjaya mendapat downline dibawah kita. Itulah namanya membeli angan-angan kosong. Jadi, jangan teruskan pembelian angan-angan itu kerana ia hanya kerja yang sia-sia dan merugikan diri sendiri.
Ia sangat berbeza berbanding dengan perniagaan internet yang melibatkan produk yang jelas, seperti mana kita hidup dalam dunia realiti. Kalau kita dapat menjual satu produk, kita akan mendapat keuntungan sebanyak satu jualan. Kita perlu ingat, perniagaan internet juga adalah perniagaan yang sebenar.
Maka, kita perlu rajin dan sentiasa berusaha untuk mendapat keuntungan yang besar. Apabila kita berusaha dengan bersungguh-sungguh, peluang kita untuk berjaya dalam perniagaan internet juga adalah sangat tinggi. Tanpa usaha, kita juga seolah-olah meletakkan angan-angan untuk cepat kaya.