Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana kita masih lagi diberi peluang untuk bertemu dengan bulan Ramadhan pada tahun ini 1436H bersama dengan tahun 2015 Masihi. Peluang untuk bertemu dengan bulan Ramadhan hanya setahun sekali sahaja selama 1 bulan. Kita perlu menghargai nikmat yang kita perolehi ini dengan sebaiknya.
Pada bulan Ramadhan ini ada banyak kelebihan yang perlu kita ambil. Jika tidak, diri kita sendiri yang akan rugi kerana tidak memanfaatkan bulan Ramadhan ini. Kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan ganjaran pahala di bulan yang mulia ini.
Peluang Untuk Memperbaiki Diri
Bulan Ramadhan adalah bulan untuk kita berubah menjadi lebih baik, jika bukan bulan Ramadhan maka bila lagi?. Sebabnya pada bulan lain tidak sama seperti bulan Ramadhan. Pada bulan ini nafsu kita sedang dididik untuk patuh pada perintah Allah dengan berpuasa makan dan minum serta tidak melakukan perkara-perkara lain yang boleh membatalkan puasa.
Kita juga digalakkan untuk mengerjakan amalan sunat lain seperti solat sunat terawih. Pada bulan Ramadhan ini diberikan rahmat dan penuh keberkatan. Peluang untuk kita berubah menjadi lebih baik adalah lebih mudah.
Peluang Untuk Melipat Ganda Amalan
Pada bulan Ramadhan ini kita sangat digalakkan untuk memperbanyakkan amalan-amalan sunat seperti qiamullai, bersedekah, membaca Al Quran, berzikir, istighfar dan banyak lagi. Kita perlu berusaha untuk melipat gandakan amalan-amalan sunat ini. Sudah tentu pahala yang akan kita perolehi juga akan bertambah.
Disamping memperbanyakkan amalan sunat, kita juga perlu mengelakkan diri dari melakukan perkara sia-sia yang tidak bermanfaat seperti bercakap kosong, mengumpat, banyak tengok tv, banyak tidur, dengar lagu yang melalaikan, dan banyak lagi. Jika dilakukan secara berlebihan ia boleh membawa kepada dosa pula. Itu yang kita tidak mahu.
Peluang Untuk Menjaga Kesihatan
Bulan Ramadhan kita diwajibkan berpuasa dengan tidak makan dan minum. Secara asasnya kita dapat mengawal nafsu makan yang tidak pernah puas untuk makan apa saja yang kita mahu. Kita disunatkan untuk bersahur kerana didalam sahur itu ada berkatnya. Pada siang harinya pula perut kita akan berehat dengan tidak makan dan minum seperti hari-hari sebelumnya. Pada waktu maghrib barulah kita dapat berbuka dengan makan dan minum.
Tapi jangan pula waktu berbuka ni kita makan tak ingat dunia. Seolah-oleh macam nak lepas geram tak dapat makan selama sehari. Makan hanya sekadar cukup sahaja supaya kita ada tenaga untuk beribadat pada malam harinya. Kita juga disunatkan untuk berbuka dengan buah kurma/tamar kerana mengikut sunnah Nabi junjungan kita. Mari kita berselawat atas Baginda.
*
Sebagai penutupnya, marilah sama-sama kita muhasabah diri kita dibulan Ramadhan ini. Kita tidak pasti adakah kita masih dapat bertemu dengan bulan Ramadhan pada tahun-tahun yang akan datang. Hargailah bulan Ramadhan ini dengan sebaik mungkin. Kita bersyukur kerana Allah memberikan kepada kita nikmat bulan Ramadhan yang cukup besar kepada kita semua. Sudah tentu kita amat merindui dan menantikan kedatangan Lailatul Qadar dipenghujung Ramadhan nanti. Harga setiap detik masa yang kita ada pada bulan Ramadhan ini.
Selamat menyambut bulan Ramadhan dan selamat berpuasa kepada semua sahabat saya tidak kira di mana sahaja. Maaf lahir dan batin jika terdapat salah silap dalam keadaan sedar atau tidak sedar. Semoga kita sama-sama dapat menjadikan bulan Ramadhan tahun ini yang terbaik dalam hidup kita.