Setiap orang pasti mempunyai pengalaman dalam berniaga. Tidak kiralah di mana saja lokasi kita berniaga sudah tentu ianya memberi pengalaman berharga kepada diri kita.
Saya sendiri pernah berpengalaman hanya sekejap membantu abang saya berniaga di pasar malam suatu masa dahulu. Sudah lama iaitu disekitar tahun 2007. Saya tidak dapat membantu lebih lama kerana waktu itu saya perlu menyambung pengajian di Matrikulasi.
Saya masih lagi ingat waktu itu saya berniaga CD ceramah agama seorang ustaz yang cukup popular pada masa itu iaitu Ustaz Akhil Hayy. Mungkin sekarang ni beliau dah kurang popular berbanding dahulu namun saya masih tetap meminati ceramah beliau. Cukup hebat dan menarik perhatian siapa yang mendengar tazkirah beliau.
Banyak ilmu yang saya dapat belajar walaupun hanya sekejap saja pengalaman membantu abang saya berniaga di pasar malam. Ianya sangat bermakna untuk diri saya.
Kenal Pasti Target Pasaran
Cari tempat yang ada ramai orang iaitu pasar malam. Pasaran orang melayu muslim. Ramai yang berminat dengan ilmu agama. Target pasaran yang betul. Kita dapat menjual produk kepada orang yang betul. Masa tu saya jual CD ceramah agama ustaz akhil. Rata-rata pembeli sudah tentu orang melayu islam yang ramai datang berkunjung ke pasar malam.
Masa tu kami pasang tv kecil supaya orang datang berhenti dan tengok tv ceramah agama di depan gerai kami. Bila nampak seperti ramai orang sedang berkerumun di gerai kami, sudah tentu ia menarik perhatian orang lain untuk datang lihat sekali. Jadi disitu sudah dapat menarik lebih ramai lagi pelanggan yang berminat.
Produk Yang Ada Permintaan
Masa tu saya berniaga CD ceramah Ustaz Akhil Hayy di sekitar tahun 2007. Masa tu ustaz akhil sangat popular dengan ceramah agama di seluruh Malaysia. Jadi video ceramahnya ada permintaan sangat tinggi di pasaran. Cuba saya jual CD ustaz akhil pada tahun 2015 ni. Sudah tentu ia kurang mendapat sambutan kerana populariti beliau sekarang tidak sehebat dulu. Sekarang ni kalau jual CD ceramah Ustaz Azhar Idrus sudah tentu mendapat sambutan yang tinggi.
Jangan sesekali fikir sekarang ni kan ada Youtube, maka orang dah tak minat beli CD lagi. Mungkin betul dan mungkin tidak. Bukan semua orang mampu melanggan internet. Mereka yang tinggal di kampung-kampung bukan semua ada internet. Golongan yang berusia bukan semuanya tahu guna teknologi komputer dan telefon pintar. Mereka masih menggunakan CD untuk lihat video ceramah agama dirumah mereka. Maksudnya jual CD pada masa kini pun masih tetap ada permintaan.
*
Hanya itu saja yang saya dapat kongsikan kerana saya hanya sekejap saja melalui pengalaman berniaga di pasar malam. Jika dapat berniaga lebih lama lagi mungkin lebih banyak ilmu dan pengalaman yang saya dapat kongsikan. Lagipun masa tu saya langsung tidak mempunyai minat berniaga kerana masih fokus kepada pelajaran.
Bila ingat balik rasa malu pun ada semasa berniaga di pasar malam dulu. Tapi mengapa perlu malu sedangkan kita mencari rezeki yang halal. Pengalaman tu yang penting. Jika tak pernah buat maka kita tidak akan dapat belajar dari pengalaman sendiri.