“No Motivation, No Crime”

No Motivation, No CrimeHanya tajuk saja dalam English tapi kandungan artikel ini ditulis sepenuhnya dalam Bahasa Melayu. Sebenarnya tajuk di atas dipetik daripada satu dialog yang terdapat dalam filem Happy New Year lakonan Shah Rukh Khan and the gang. Filem ini mempunyai beberapa unsur-unsur negatif seperti jenayah, balas dendam, menipu dan sebagainya.

Namun begitu, kita mempunyai pilihan untuk fokus kepada perkara yang positif sahaja. Saya bukan mahu menulis review tentang filem tersebut tapi saya cuma tertarik dengan satu dialog yang disebut oleh SRK iaitu ‘No Motivation, No Crime’. Artikel ini juga adalah berdasarkan pengajaran baik yang terdapat dalam filem tersebut. Saya relate kan ia kepada dunia bisnes.

Jangan fokus kepada ‘crime’. Tukarkan ia kepada perkara lain. Contohnya pekerjaan kita seharian. Semuanya perlukan motivasi. “Tiada Motivasi maka Tiada Tindakan”. Orang yang buat bisnes sentiasa perlukan motivasi untuk terus bersemangat dalam meneruskan kerja bisnes.

Senang cerita semua perkara kita perlukan motivasi untuk berjaya dalam hidup ini. Motivasi ibarat makanan supaya kita dapat terus bertenaga meneruskan kehidupan setiap hari. Motivasi adalah pencetus semangat supaya kita akan sentiasa kuat untuk menghadapi segala cabaran.

1. Mempunyai Tujuan dan Matlamat

Dalam bisnes kita perlu mempunyai tujuan dan matlamat. Kita mempunyai sebab yang kuat kenapa kita membuat bisnes. Sedangkan kita mempunyai pilihan lain iaitu bekerja makan gaji. Tujuan kita membuat bisnes adalah kerana kita inginkan kebebasan. Kebebasan itu luas iaitu kebebasan masa, kebebasan cara kerja, kebebasan kewangan dan banyak lagi. Sebab itu ramai yang buat bisnes kerana mahu kebebasan dalam hidup mereka.

Matlamat jangka panjang bagi seorang usahawan sudah tentu mahu memiliki sebuah bisnes yang hebat dan berjaya. Kita mahu menjadi seorang jutawan yang berjaya. Tujuan dan matlamat inilah yang memberikan kita motivasi yang kuat untuk terus bekerja dengan lebih gigih sehingga berjaya.

2. Membuat Perancangan Yang Teliti

Dalam bisnes kita boleh saja hentam keromo. Iaitu buat kerja secara redah saja. Ada yang menjadi dan ada yang tidak menjadi. Tapi jika membuat perancangan adalah lebih baik. Ia bagi mengelakkan kita tersilap langkah yang boleh merugikan.

Kita perlu tahu apa perkara utama yang mesti kita lakukan. Kita perlu tahu kesan dan akibat dari tindakan yang kita buat. Jika kita bertindak mengikuti perancangan maka peluang untuk berjaya akan lebih mudah. Rasa risau akan kurang kerana kita telah pun mempunyai perancangan rapi. Maka motivasi kerja juga akan lebih meningkat.

3. Berkerja Dalam Kumpulan

Berbeza bekerja sendirian dengan bekerja secara berkumpulan. Jika bekerja sendirian kita akan mudah give up dan tiada siapa yang akan tolong kita bangkit. Hanya diri kita sendiri yang perlu berusaha untuk bangkit. Berbeza jika ada team atau rakan-rakan bisnes yang selalu support. Jika kita rasa nak give up merekalah yang akan memberikan semangat kepada diri kita untuk segera bangkit.

Lagi satu kelebihan bila bekerja dalam kumpulan adalah kerja menjadi lebih cepat dan mudah apabila tugasan dibahagikan kepada mereka yang mahir dalam bidang mereka. Setiap orang perlu memainkan peranan mereka masing-masing dan mempunyai tanggungjawab ke atas tugas yang diberikan. Bila bekerja dalam kumpulan auranya berbeza. Kita akan rasa lebih bersemangat dan sentiasa mempunyai motivasi yang tinggi.

4. Mematuhi Arahan ketua

Setiap dari kita mempunyai peranan masing-masing. Ada yang menjadi ketua dan ada yang menjadi pengikut. Ketua di sini adalah pemimpin kita dalam bisnes. Siapa yang menjadi mentor bisnes kita. Kita hanya perlu mengikut apa yang mentor kita buat. Kita perlu ikut saja apa yang boleh memberi manfaat kepada diri kita untuk terus berjaya. Jika melakukan kerja dalam kumpulan, kita perlu mematuhi arahan ketua.

Dalam sebuah kapal perlu ada seorang nakhoda/kapten yang akan memimpin ke mana hala tuju kapal tersebut. Jika tidak kapal itu akan hilang arah dan akan hanyut dipukul ombak lautan. Seorang kapten perlu memastikan kapalnya berada dalam laluan yang betul untuk ke destinasi yang mereka tuju. Dia perlu memberikan motivasi kepada anak buahnya supaya terus bersemangat untuk meneruskan perjalanan.

5. Tidak Pernah Putus Asa

Walaupun pelbagai halangan yang perlu kita hadapi, kita jangan berputus asa. Setiap orang pasti akan diuji dengan cara berbeza. Begitu juga dalam dunia bisnes. Kita akan sentiasa menempuhi pelbagai cabaran. Apa yang membezakan orang yang berjaya dengan orang tidak berjaya adalah ‘tidak putus asa’.

Orang yang berjaya tidak pernah putus asa. Mereka tidak akan pernah berhenti selagi belum berjaya. Orang yang tidak berjaya akan cepat putus asa. Mereka baru buat sekali dan gagal dah terus putus asa. Mereka sendiri yang akan rugi. Untuk tidak mudah putus asa kita perlukan motivasi yang kuat. Kita perlu ingat balik kenapa kita bermula dahulu. Kita akan rugi jika putus asa kerana mungkin ‘sedikit saja lagi’ untuk kita capai kejayaan. Teruskan saja.

*

Dalam hidup ini kita perlukan motivasi untuk meneruskan kehidupan. Kita bekerja dan mencari rezeki adalah kerana diri kita sendiri. Kita mempunyai keluarga, anak-anak, ibu bapa atau adik beradik yang perlu kita tanggung. Mereka adalah motivasi yang kuat untuk kita terus berusaha mencari rezeki.

Kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib diri kita. Jika kita tidak berusaha untuk mengubah nasib hidup kita maka tiada siapa lagi yang dapat mengubahnya. Kita tidak boleh hanya berserah kepada nasib semata-mata. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum jika kaum itu sendiri yang tidak berusaha untuk mengubah nasib mereka. Usaha dan tawakal kepada Allah adalah kunci kejayaan.

Kita masih ada Allah yang merupakan tempat paling utama untuk kita memohon pertolongan, banyakkan berdoa kepadaNya. Kita hidup didunia sebagai persediaan hari akhirat. Kita mempunyai motivasi yang kuat untuk ke SyurgaNya. Kita perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan tersebut. Perbanyakkan amalan baik semasa kita masih hidup di dunia ini. InsyaAllah kejayaan pasti menjadi milik kita semua.

About Nik Thoha

Artikel ini ditulis oleh saudara Nik Thoha. Beliau ialah seorang penulis blog dan juga seorang usahawan internet sepenuh masa. Anda boleh follow beliau di channel Telegram. Klik sini >> https://t.me/nikthoha

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *