Cara Untuk Menghargai Jasa Guru

Cara Untuk Menghargai Jasa Guru(Gambar adalah sekadar hiasan sahaja dari filem 3 Idiots)

Sempena hari guru yang kita sambut pada tarikh 16 Mei 2016 ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru di seluruh Malaysia, dan khususnya kepada semua guru-guru yang pernah mengajar saya selama ini.

Sebagai seorang pelajar kita perlu menghargai jasa semua guru yang telah mencurahkan banyak ilmu kepada kita selama ini. Walaupun guru tidak pernah meminta dibalas jasa mereka tapi kita tetap kena hargai jasa mereka. Jasa mereka tidak dapat dibalas dengan wang ringgit kerana jasa mereka tidak ternilai.

Ada banyak cara yang boleh kita lakukan untuk menghargai jasa seorang guru. Kita boleh melakukannya sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam kehidupan kita.

1) Ucapkan Terima Kasih Kepada Guru

Ucapan terima kasih sangat berharga. Semua orang akan rasa gembira apabila diucapkan terima kasih. Mereka akan rasa dirinya dihargai.

Ucapan terima kasih adalah sebagai tanda kita sangat menghargai jasa guru-guru kita. Boleh ucapkan terima kasih apabila berjumpa secara berdepan ataupun pada zaman sekarang boleh whatsapp guru-guru kita jika jauh nak jumpa depan-depan.

2) Raikan Hari Guru Setiap Tahun

Pada setiap tahun kita akan menyambut hari guru. Jika di zaman sekolah dahulu kita akan selalu mengadakan majlis sambutan hari guru pada setiap tahun untuk meraikan hari guru. Ini adalah salah satu cara untuk kita sebagai pelajar berterima kasih dan mengingati jasa dan pengorbanan seorang guru dalam mencurahkan ilmu kepada kita.

Bagi mereka yang jauh atau sudah lama menamatkan zaman sekolah/universiti, pada setiap kali hari guru kita boleh menghubungi guru-guru kita dan ucapkan selamat hari guru kepada mereka. Mereka pasti akan gembira dan terharu kerana hari guru adalah hari istimewa bagi seorang guru.

3) Berikan Hadiah Kepada Guru

Memberi hadiah ni tidak wajib tapi kita boleh berikan hadiah mengikut kemampuan diri kita. Guru-guru juga tidak mengharapkan sebarang hadiah dari pelajar tapi jika ada yang memberi hadiah, sudah tentu guru-guru akan rasa gembira dan terharu kerana ada juga pelajar yang sudi beri hadiah.

Hari tu saya ada terbaca kisah sedih seorang murid tidak mahu ke sekolah kerana tidak dapat membeli hadiah kepada guru sempena hari guru kerana keluarganya hidup susah. Jadi kepada guru juga jangan terlalu mengharap hadiah dari pelajar kerana mungkin ada pelajar yang tidak berkemampuan.

4) Amalkan Segala Ilmu Yang Dicurahkan Oleh Guru

Sejak dari kecil hingga besar banyak benda yang telah kita belajar dalam hidup ini. Banyak ilmu-ilmu yang telah kita terima dari seorang guru sejak dari sekolah hingga ke univerisiti dan seterusnya memasuki alam pekerjaan.

Sebagai tanda menghargai jasa guru, kita perlulah mengamalkan segala ilmu-ilmu yang bermanfaat yang telah diajar oleh guru kepada kita dalam kehidupan seharian. Supaya pahala amalan kebaikan kita akan sama-sama diberikan kepada guru-guru yang telah berkongsi ilmu kepada kita.

5) Berkongsi Ilmu Kepada Orang Lain

Ilmu yang baik yang kita belajar dari seorang guru perlu dikongsikan kepada orang lain. Tidak kiralah apa saja ilmu selagi ia bermanfaat kepada manusia.

Kita belajar sesuatu ilmu dari seorang guru. Kemudian kita kongsikan ilmu yang kita belajar dari guru itu kepada orang lain pula. Maka saham pahala itu akan sentiasa mengalir berterusan. Tidak rugi berkongsi ilmu malah ilmu akan semakin bertambah dalam diri kita. InsyaAllah.

 

Sebagai tambahan kita perlulah sentiasa mendoakan kesejahteraan hidup guru-guru kita di dunia dan akhirat. Semoga mereka semua diberikan kesihatan yang baik untuk meneruskan perjuangan mendidik anak bangsa kita supaya menjadi orang yang berjaya di dunia dan akhirat.

Guru pertama dalam hidup kita sudah tentu ibu bapa kita sendiri yang telah mendidik kita sejak dari kecil untuk belajar mengenali kehidupan ini. Terlalu besar jasa mereka untuk kita balas. Kemudian kita belajar dari guru-guru semasa di sekolah sehingga ke universiti. Selepas itu kita belajar dari ramai lagi guru-guru yang ada dalam kehidupan kita.

Saya dapat menulis ni pun disebabkan oleh ilmu yang diajarkan oleh guru bahasa melayu semasa di sekolah dahulu. Rasanya peringkat SPM adalah kali terakhir saya belajar penulisan bahasa melayu. Saya dah tinggalkan SPM sejak 10 tahun lepas. Tiba-tiba rasa macam tua sangat dah ni.

Lepas SPM dah tak guna penulisan bahasa sangat dah sebab masuk aliran sains. Tapi mungkin kerana berkat ilmu dan dari asas penulisan zaman sekolah dulu saya masih dapat terus menulis dalam blog saya ini. Walaupun penulisan saya tidaklah sehebat orang lain dan terlalu banyak kekurangan. Saya masih berusaha untuk belajar dan ia tidak akan terhenti setakat itu sahaja.

Jika nak ucapkan terima kasih satu-satu kepada semua guru mungkin tidak sempat. Jadi saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua guru-guru yang pernah mengajar saya selama ini. Saya ucapkan Selamat Hari Guru. Semoga terus gigih berjuang untuk mendidik anak bangsa kita menjadi orang yang berguna dan berilmu yang dapat memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara kita Malaysia. InsyaAllah.

Ikhlas,

Nik Thoha

Sekolah Kebangsaan Chicha Menyabong, Kota Bharu (1995-2001)
SMU(A) Maahad Muhammadi Lelaki, Kota Bharu (2002-2006)
Kolej Matrikulasi Pahang, Pahang (2007-2009)
Universiti Malaysia Terengganu, Terengganu (2009-2012)
Universiti Kehidupan (Sejak lahir hingga sekarang)

About Nik Thoha

Artikel ini ditulis oleh saudara Nik Thoha. Beliau ialah seorang penulis blog dan juga seorang usahawan internet sepenuh masa. Anda boleh follow beliau di channel Telegram. Klik sini >> https://t.me/nikthoha

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *