Sebagai manusia normal, kadang-kadang rasa tidak bermotivasi dan lemah semangat, rasa tidak bermaya nak membuat kerja, tak nampak matlamat dan hala tuju bisnes dan macam-macam lagi perkara yang tidak berapa bagus untuk diri dan bisnes kita.
Ianya boleh datang dari dalam diri kita sendiri dan juga dari pengaruh daripada keadaan sekeliling kita.
Jadi macam mana ya nak buat untuk dapatkan kembali semangat kita yang hilang tu?
Ok boleh cuba tip ringkas ni yang boleh membantu memberi perubahan pada diri kita setiap hari untuk lebih berjaya dalam bisnes. InsyaAllah.
1 – Sentiasa berkawan dan dikelilingi oleh mereka yang positif
Apa yang berlaku di sekeliling kita banyak mempengaruhi diri kita. Cari kawan yang sentiasa membantu menaikkan semangat kita. Jauhkan diri dari mereka yang suka menjatuhkan semangat orang lain.
Walaupun nampak benda ni biasa-biasa je tapi sebenarnya ia penting supaya kita pilih kawan yang betul. Biar kawan tak ramai pun. Yang penting kawan yang kita ada tu berkualiti.
2 – Minta pertolongan orang lain
Kita tidak dapat lari dari bermacam jenis masalah. Jadi kita juga memerlukan pertolongan dari orang lain untuk menyelesaikan masalah yang kita hadapi. Ada ramai orang di luar sana yang boleh kita dapatkan bantuan mereka.
Contohnya seperti ibu bapa, pasangan hidup suami atau isteri, kawan baik, mentor bisnes dan ramai lagi. Cuba dapatkan pandangan dan nasihat mereka untuk membantu kita kembali ke landasan sebenar dalam bisnes.
3 – Sentiasa tambah ilmu setiap hari
Salah satu cara terbaik untuk tambah ilmu adalah dengan membaca buku. Bukan bacaan ringan seperti surat khabar, majalah atau buku cerita. Buku yang dimaksudkan adalah buku-buku ilmiah yang memberi tambah nilai dalam kehidupan kita.
Apabila membaca buku berilmiah ia dapat memberi motivasi dan menambah ilmu baru untuk kita lebih berjaya dalam bisnes. Ataupun kita boleh juga dengar video-video daripada guru-guru bisnes yang boleh memberi ilmu baru kepada diri kita.
4 – Bantu orang lain yang memerlukan
Salah satu cara untuk jadikan diri kita lebih bahagia adalah dengan membantu orang lain. Dalam dunia bisnes, apa yang boleh kita lakukan adalah cuba untuk bantu semua pelanggan kita. Kita bantu pelanggan untuk mengatasi masalah yang mereka hadapi.
Berniaga bukan hanya sekadar kejar duit semata-mata. Tapi apa yang boleh kita bantu orang lain melalui bisnes kita. Kita bantu pelanggan mendapat manfaat daripada produk yang kita jual. Jika pelanggan berpuas hati setelah mendapatkan produk kita maka kita juga akan turut merasa gembira.
5 – Buat aktiviti yang kita suka lakukan
Tidak salah buat aktiviti yang kita suka. contohnya suka bermain game, layan cerita, dengar lagu dan sebagainya. Sekali sekala kita perlu juga buat aktiviti tidak berkaitan dengan bisnes. Ini bagi memberi rehat kepada badan dan minda kita yang penat bekerja menjalankan bisnes seharian.
Cuma jangan berlebihan supaya kita tidak hanyut dan banyak membuang masa. Biar berpada-pada dan cukup sekadar untuk hilangkan stress orang kata.
6 – Bagi ‘self reward’ kepada diri sendiri
Semua orang suka dan gembira jika diberikan hadiah. Tidak perlu tunggu orang lain bagi hadiah, kita boleh bagi hadiah atau self reward kepada diri sendiri jika kita telah berjaya mencapai sesuatu target sales yang kita tetapkan dalam bisnes.
Contohnya beli sesuatu yang kita suka seperti baju ke, kasut ke. Beli hadiah buku pun bagus dapat tambah ilmu. Cara ini boleh membuatkan kita rasa lebih bersemangat untuk capai lebih banyak target sales dalam bisnes.
7 – Pergi bercuti rehatkan fikiran
Badan dan minda kita perlukan rehat. Jika berpeluang kita boleh ambil masa untuk pergi bercuti ke mana sahaja tempat menarik. Di negara kita pun ada banyak tempat menarik. Ambil masa untuk tenangkan fikiran seketika. Bercuti dapat membantu kita hilangkan stress dan tekanan kerja.
Selepas kembali dari bercuti kita akan rasa lebih bersemangat dan bertenaga semula. Minda kita pun akan lebih fresh dan dapat mengeluarkan banyak idea-idea baru untuk memajukan bisnes kita dengan lebih baik.
Sebagai kesimpulan, apa yang dikongsikan dalam artikel ini hanyalah tip untuk membantu diri kita supaya kembali bersemangat dalam kehidupan dan juga bisnes. Jika kita lebih bersemangat maka bisnes kita juga akan berkembang maju dengan lebih baik.
Mana-mana tip yang sesuai dengan diri kita, boleh terus buat, Yang rasa belum sesuai boleh dicuba secara perlahan-lahan. InsyaAllah semoga kehidupan dan bisnes kita akan lebih berjaya.