Waktu pagi adalah waktu terbaik untuk kita mulakan hari kita dengan penuh semangat dan semangat itu akan berterusan sepanjang hari. Jika waktu pagi kita lemah dan tidak bersemangat, maka prestasi kita pada hari tersebut sudah tentu teruk.
Bagi memastikan waktu pagi kita tidak sia-sia dan jadi lebih bermakna. Ada beberapa tip yang boleh kita amalkan pada waktu pagi. Ianya boleh mengubah waktu pagi kita menjadi lebih baik berbanding biasa. Dengan izin Allah.
1) Mulakan Pagi Dengan Bersyukur Kepada Allah
Kita biasa berdoa selepas bangun tidur. Kadang-kadang kita terlupa. Saya juga kadang-kadang terlupa. Tak mengapa kita saling ingat mengingatkan. Syukur kerana kita masih dapat menghirup udara segar dan dapat meneruskan kehidupan.
Kemudian lakukan segera amalan-amalan sunat dan wajib iaitu solat sunat tahajjud dan kemudiannya diteruskan dengan solat fardhu subuh.
2) Sedekah Al-fatihah Dan Berdoa Untuk kedua Ibu Bapa
Antara amalan yang kita boleh lakukan pada waktu pagi adalah mendoakan kedua ibu bapa kita yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.
Sedekahkan bacaan Al-fatihah kepada mereka. Ini adalah salah satu cara untuk kita menghargai dan membalas jasa mereka.
3) Baca Al-Quran Beberapa Mukasurat
Sudah tentu berbeza jika kita memulakan hari dengan bacaan Al Quran. Kita akan rasa lebih tenang bila membacanya. Jangan paksa diri untuk terus baca 1 juzuk. Nanti kita akan rasa penat.
Baca sikit-sikit dulu sekurang-kurangnya 1 mukasurat. Jika rajin boleh tambah lagi. Biar sikit tapi kita dapat konsisten baca setiap hari. InsyAllah
4) Solat Sunat Dhuha Sekurang-kurangnya 2 Rakaat
Antara solat sunat yang sangat digalakkan pada waktu pagi adalah solat sunat dhuha. Ia boleh dilakukan sekurang-kurangnya 2 rakaat. Bila dah konsisten boleh cuba tambah jadi 4 atau 8 pula.
Waktu pagi kita biasanya sangat sibuk tapi cuba usahakan setakat mana yang kita mampu buat. Tak lama pun ambil masa 5 – 10 minit saja untuk selesai solat.
5) Niatkan Pekerjaan Yang Kita lakukan Kerana Allah
Tidak kiralah apa sahaja pekerjaan yang kita lakukan, lakukan ia dengan ikhlas kerana Allah. Supaya kerja yang kita lakukan itu sentiasa diberkati. Jika bekerja lakukan kerja dengan jujur dan amanah.
Bagi mereka yang berniaga pula, lakukan perniagaan dengan bersungguh-sungguh supaya setiap usaha yang kita lakukan itu dicatat sebagai amal kebajikan dan beroleh ganjaran pahala.
Kesimpulan, jadikan waktu pagi kita lebih bermakna dengan mengamalkan tip-tip di atas. Seterusnya menjadikan hari tersebut lebih ceria dan memberi manfaat untuk diri kita sendiri dan juga orang di sekeliling kita.
Satu lagi nak pesan, pagi-pagi tu jangan amalkan baca surat khabar. Sebabnya dalam surat khabar tu lebih banyak berita negatif yang boleh merosakkan mood kita pada hari tersebut. Dengan jenayahnya, politik, kemalangan, gosip artis dan macam-macam lagi.
Semua tu tidak bagus untuk permulaan hari kita. Tak salah nak tahu isu semasa tapi tunggu waktu petang sikit bacalah. Ataupun waktu malam tengok berita dalam tv untuk dapat info isu semasa yang berlaku dalam negara.
Kalau pagi-pagi tu nak baca buku-buku ilmiah tu memang sangat digalakkan. Boleh tambah ilmu bermanfaat dalam diri kita juga.
Anda ada lagi tak tip-tip lain yang nak ditambah?
Jika ada boleh kongsikan pada ruangan komen dibawah. Terima kasih. 🙂