Sempena Hari Pekerja yang disambut pada 1 haribulan Mei setiap tahun, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua pekerja-pekerja di seluruh Malaysia.
Tidak kiralah apa sahaja pekerjaan yang anda lakukan asalkan ianya halal dan diberkati. Teruskan perjuangan menyumbang bakti dan tenaga anda untuk membangunkan ekonomi diri, keluarga, masyarakat dan negara kita.
Sebagai pekerja, anda perlu berusaha untuk memberikan kualiti kerja yang terbaik kepada syarikat tempat anda bekerja. Anda perlu pandai untuk mengambil hati majikan anda supaya hubungan anda sebagai pekerja dan majikan akan sentiasa dalam keadaan baik.
Antara tip-tip yang boleh anda lakukan untuk buat majikan atau bos anda gembira kerana mempunyai pekerja seperti anda adalah:
1) Menepati Waktu Yang Ditetapkan
Antara waktu penting yang dipandang serius oleh majikan adalah waktu datang kerja. Anda perlu berusaha untuk datang tepat pada waktu atau datang kerja sebelum waktu yang ditetapkan itu lebih baik. Kalau waktu masuk kerja pukul 9, cuba datang 10 atau 20 minit lebih awal.
Lawan kepada datang awal adalah balik lambat. Jika tiada hal penting, cuba balik lewat dalam 20-30 minit selepas tamat waktu kerja. Bukan saja-saja balik lambat tapi itu menunjukkan yang anda terpaksa mengorbankan masa anda untuk balik lambat demi menyiapkan kerja-kerja anda.
2) Ucap Selamat dan Murahkan Senyuman
Bos anda juga seorang manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan. Sentuh emosinya dengan mengucapkan selamat pagi, selamat petang, memberi salam apabila berjumpa dan sebelum balik kerja.
Muka tu kena sentiasa senyum apabila berjumpa dengan bos. Walaupun stress dengan kerja, anda perlu sentiasa senyum apabila berdepan dengan bos. Biarlah bos masam pun, anda senyum je kat dia. Senyuman dapat menarik aura yang positif dalam diri anda dan juga orang lain disekeliling anda.
3) Menyiapkan Kerja Tepat Pada Waktunya
Prestasi kerja anda sudah tentu dinilai berdasarkan kerja-kerja yang anda lakukan. Jika anda diberikan tugasan tertentu, cuba siapkannya dalam tempoh masa yang telah ditetapkan oleh bos anda. Jika dapat siapkan sebelum tarikh yang ditetapkan lagi bagus.
Jangan bertangguh kerja tanpa sebab. Perbuatan suka memberi alasan boleh memberikan imej buruk anda kepada majikan. Jika betul-betul tidak cukup masa, bincang baik-baik dengan bos supaya melanjutkan tempoh masa lebih lama lagi.
4) Berusaha Menjadi Pekerja Yang Rajin
Menjadi pekerja yang rajin bukan hanya untuk tunjuk kepada sesiapa. Ia menjadi kewajipan seorang pekerja untuk jadi rajin supaya kualiti kerja sentiasa dapat hasil yang terbaik. Majikan tidak membayar anda untuk buat kerja sambil lewa kerana malas. Orang yang rajin akan disukai oleh sesiapa sahaja.
Elakkan dari memberi alasan jika diberi tugasan yang banyak. Cuba untuk berikan yang terbaik mengikut kemampuan anda. Jadilah pekerja yang rajin untuk bos anda. Tapi jangan pula hanya depan bos rajin, dibelakang bos buat kerja cincai-cincai sambil lewa.
5) Kurangkan Membuat Kesilapan
Sebagai manusia sudah tentu kita tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Tapi jangan sampai asyik melakukan kesilapan yang berulang-ulang. Anda akan dianggap sebagai pekerja tidak cekap jika sering melakukan kesilapan yang sama.
Jika tersilap untuk pertama kali, rendahkan diri untuk memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Orang akan lebih respect kepada anda kerana berani mengakui kesilapan diri. Jangan malu untuk bertanya jika tidak tahu. Ia dapat mengurangkan berlakunya kesilapan. Jika bos bagi apa-apa bantuan jangan lupa ucapkan terima kasih sebagai tanda menghargai jasa beliau.
Apa yang dikongsikan dalam artikel ini hanyalah sebahagian tip-tip yang boleh anda amalkan untuk menjadi pekerja yang terbaik dan membuat majikan anda gembira. Walaupun hanya tip yang simple saja dan mungkin ramai yang dah tahu. Tapi benda yang dah tahu tu la kadang-kadang kita sering terlepas pandang.
Berusahalah untuk menjadi seorang pekerja yang terbaik walau dimana sahaja anda bekerja. Tidak kiralah siapa bos anda, dia dari bangsa lain ke, anda tetap perlu menghormati mereka kerana mereka yang membayar gaji anda. Soal bos teruk, tidak bertimbang rasa itu diluar kemampuan anda. Anda tidak mampu untuk mengubah orang lain. Tapi anda masih mampu untuk mengubah diri sendiri menjadi lebih baik.
Anda ada pengalaman atau tip-tip tambahan yang mahu dikongsikan? Jom kongsikan pendapat anda melalui ruangan komen dibawah. Terima kasih. 🙂
Sangat setuju dengan point no #3 3) Menyiapkan Kerja Tepat Pada Waktunya kerana majikan sangat suka pekerja yang bersungguh dan berdedikasi.