Rezeki boleh dijemput melalui pelbagai cara. Perkongsian tentang rezeki ini saya sempat take note semasa menonton rancangan Assalamualaikum terbitan TV Al Hijrah yang bersiaran dari jam 8 pagi hingga 10.30 pagi. Ada satu slot iaitu bersama dengan Ustaz Dr. Izhar Ariff. Beliau merupakan salah seorang pendakwah yang terkenal di negara kita.
Beliau berkongsikan dengan penonton bagaimana cara untuk kita menjemput rezeki. Tip-tip yang beliau kongsikan ini adalah sangat bermanfaat untuk dikongsikan dan diamalkan oleh kita semua.
1) Berpagi-pagi
Mulakan amalan hidup kita dengan solat sunat tahajjud dipagi hari. Solat sunat tahajjud adalah amalan yang mendekatkan diri kita kepada Allah. Ia dilakukan ketika orang lain sedang nyenyak tidur tapi kita bangun untuk memperhambakan diri kepada Allah. Dengan melakukan amalan sunat ini hidup kita akan sentiasa dipermudahkan segala urusan. Pada waktu ini kita sangat dekat dengan Allah. Berdoalah dan memohon kepada Allah.
Selepas solat sunat tahajjud kita meneruskan amalan wajib iaitu solat fardhu subuh. Untuk menjemput rezeki kita tidak digalakkan tidur selepas subuh. Kita sepatutnya mengisi waktu pagi selepas subuh ini dengan amalan-amalan sunat seperti berzikir. Berzikir dapat mendekatkan diri kita kepada Allah dan dikurniakan ganjaran pahala. Semoga waktu pagi kita sentiasa diberkati dan dimurahkan rezeki pada hari tersebut.
2) Berusaha Mencari Rezeki
Hendak dapat rezeki perlulah berusaha kerana tanpa usaha kita tidak akan mendapat hasil. Rezeki datang dalam pelbagai cara. Ada orang bekerja dan ada orang berniaga untuk mendapatkan rezeki. Jika bekerja kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan prestasi kerja kita supaya sentiasa cemerlang dan dapat memajukan syarikat tempat kita bekerja.
Jika berniaga perlu ada strategi yang betul dalam perniagaan. Perlu ada ilmu yang boleh membantu diri kita maju dalam perniagaan. Strategi berniaga hendaklah betul supaya kita boleh mendapat keuntungan dari perniagaan yang kita jalankan.
Seterusnya apabila telah berusaha, kita hendaklah bertawakal kepada Allah. Ini kerana hanya Allah yang memberikan rezeki kepada hambanya. Yang penting kita telah berusaha dengan bersungguh-sungguh dan tidak hanya berdiam diri semata-mata. Selebihnya kita hanya berserah kepada Allah.
3) Solat Sunat Dhuha
Untuk menjemput rezeki kita sangat digalakkan untuk melakukan solat sunat dhuha. Solat sunat dhuha ini JANGAN KITA TINGGAL. Berusahalah sedaya upaya untuk melakukan solat sunat dhuha paling kurang pun sebanyak dua rakaat pada waktu pagi. Yang penting kita dapat melakukannya secara konsisten pada setiap hari.
Jika tidak dilaksanakan kita akan rugi pada hari tersebut. Banyak kelebihan yang akan kita perolehi apabila mengamalkan solat sunat dhuha. Jom sama-sama kita amalkan solat sunat dhuha untuk menjemput rezeki.
4) Menjauhi Perbuatan Zina
Perbuatan zina adalah perbuatan yang sangat dibenci dalam islam. Ianya adalah salah satu dosa besar yang dimurkai oleh Allah. Antara keburukan yang akan diperolehi oleh penzina adalah tiada nur diwajahnya oleh kerana telah melakukan dosa besar tersebut. Perbuatan zina itu juga menyebabkan Allah menarik rezeki daripadanya. Menjadikan hidupnya susah untuk mendapat rezeki yang berkat.
Perbuatan zina sangat dibenci oleh Allah. Allah benci kepada orang yang melakukannya. Orang yang dibenci oleh Allah sudah tentu hidupnya tidak berkat dan sia-sia. Jika tidak sempat bertaubat sebelum dia meninggal dunia maka dia akan kekal berada didalam neraka. Begitu teruknya azab yang akan diterima oleh orang yang berzina. Semoga kita semua dijauhkan dari perbuatan yang keji tersebut.
*
Hidup kita didunia adalah sementara. Tidak salah untuk kita kejarkan dunia tapi dalam masa yang sama akhirat jangan sesekali ditinggalkan. Kita mahu Allah berikan rezeki kepada kita supaya kita dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik. Kita akan dapat membantu dan memberi menfaat kepada orang lain.
Rezeki yang kita perolehi walaupun sedikit hendaklah disyukuri supaya rezeki kita akan bertambah dengan lebih banyak lagi. Yang paling penting rezeki yang kita perolehi itu diberkati oleh Allah.
Sesiapa sahaja boleh menjadi orang yang kaya di dunia ini tapi alangkah lebih bermakna jika kita dapat menjadi seorang hamba yang kaya di dunia dan juga kaya di akhirat. Mudah-mudahan kita semua akan dapat mencapai impian tersebut.